KUSKOP wujudkan Hab PMKS di Sabah dan Sarawak tahun 2025
27 November 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mewujudkan Hab Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah dan Sarawak, pada tahun depan.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pengwujudan Hab PMKS di Wilayah Borneo di bawah seliaan SME Corp. Malaysia itu bertujuan meningkatkan akses maklumat PMKS kepada golongan usahawan di kedua-dua negeri berkenaan.
“Hab PMKS adalah platform pusat maklumat sehenti bagi PMKS memperolehi pelbagai maklumat mengenai perniagaan.
“Ini termasuklah maklumat mengenai permulaan perniagaan, akses pasaran pembangunan modal insan, sumber kewangan dan mempelajari amalan terbaik dalam perniagan.
“Pada tahun depan, kita ingin meluaskan Hab PMKS SME Corp iaitu satu di Sabah dan satu di Sarawak sebagai tambahan kepada Hab PMKS sedia ada di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan media selepas menghadiri Hari Terbuka @Hab PMKS SME Corp Malaysia, di sini hari ini.
“Saya berharap sesi seumpama ini memberi manfaat kepada semua usahawan. Dari segi keupayaan PMKS telah menyumbang kepada RM19 bilion cukai kepada hasil negara ini.
Sempena Hari Terbuka @Hab PMKS bertemakan “KUSKOP dan Agensi Memperkasakan PMKS” taklimat turut diadakan. Antaranya Status PMKS dan Penerapan SCORE oleh SME Corp Malaysia, Latihan dan Bimbingan Keusahawanan oleh INSKEN, Transformasi Perniagaan oleh PERNAS, Skim Pembiayaan Tekun Niaga oleh Tekun, Pemerkasaan Usahawan oleh Bank Rakyat dan taklimat mengenai KWSP.
Selain itu turut diadakan sesi khidmat nasihat dan networking daripada Bank Rakyat “Bank Rakyat Memacu Pemerkasaan dan Kelestarian Usahawan Madani dan Pembiayaan Bersama OCBC Al-Amin Bank Berhad.
Comments