KWSP galak pelajar seawal usia 14 tahun daftar sebagai pencarum
28 Disember 2024
KOTA KINABALU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan pelajar seawal usia 14 tahun untuk mendaftar sebagai pencarum, sebagai langkah persediaan awal membina simpanan bagi kegunaan di usia persaraan.
Ketua KWSP Kota Kinabalu, Sabarudin @ Sabree Hassan, menegaskan inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memastikan belia mempunyai simpanan mencukupi, tetapi juga untuk memupuk kesedaran kewangan dan budaya menabung sejak usia muda.
“Ini adalah permulaan untuk mereka mendalami dan mengetahui kesedaran berkaitan kewangan.
“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bantuan ibu bapa agar memulakan langkah pertama dengan mendaftarkan anak masing-masing yang sudah memasuki usia 14 tahun di bawah KWSP selaku pencarum.
“Walaupun setiap caruman yang dibuat tidak banyak, jumlah terbabit pastinya akan terus bertambah jika dilakukan secara konsisten,” katanya ketika ditemui di reruai KWSP sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Sabah 2024, yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, hari ini lapor Harian Metro.
Comments