LADA Coop Invest Day tarik pelaburan koperasi di Langkawi
- Wartawan Nabalu News
- 51 minutes ago
- 2 min read

21 April 2025
LANGKAWI: Program LADA Coop Invest Day 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjaya menarik minat pelaburan daripada pelbagai koperasi dalam sektor pembangunan hartanah di pulau peranginan ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program bertemakan Pelaburan Lestari Untuk Masa Depan ini antara lain bertujuan menggalakkan pelaburan koperasi dari seluruh Malaysia di Langkawi.
“Pada kali ini, LADA bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi meningkatkan peluang penglibatan koperasi-koperasi dalam usaha pembangunan dan pelaburan di Langkawi.
“Program ini bertujuan mencari pelabur yang berpotensi tinggi untuk membangunkan tanah-tanah milik LADA.
“Selain itu, program ini juga bertujuan menjalinkan hubungan kerjasama strategik bersama koperasi dalam projek pembangunan Langkawi dan mendapatkan idea-idea baru dalam usaha pembangunan projek termasuk peluang perniagaan selaras dengan Dasar Koperasi Negara.
“Hari ini, kita menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Sahabat Malaysia Berhad (KOOP Sahabat) dan kumpulan Marriott untuk pembangunan sebuah hotel di Langkawi dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan LADA COOP Invest Day, di Hotel Aloft Langkawi, di sini, hari ini.
Ewon berharap, program LADA Coop Invest Day dapat meningkatkan akses koperasi-koperasi kepada potensi pelaburan di Pulau Langkawi dengan kerjasama koperasi-koperasi lain.
“Saya anggap projek ini (Koop Sahabat) sebagai contoh dan motivasi kepada koperasi lain untuk turut serta membuat pelaburan di Langkawi, bukan sahaja dalam sektor pelancongan, tetapi juga sektor lain yang berpotensi,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kejayaan koperasi seperti Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) yang kini memiliki hotel dan resort di beberapa lokasi strategik di negara ini.
“Sebab itu, saya menggalakkan mana-mana koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan supaya menyertai federasi koperasi pelancongan bagi mencari isu bersama dan mencapai matlamat seiring dalam pembangunan sektor pelancongan,” katanya.
Ewon berkata, pada September ini, federasi itu dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan Expo Pelancongan Koperasi, yang bakal menampilkan produk dan perkhidmatan pelancongan dari koperasi seluruh negara.
“Ini antara usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mempersiapkan koperasi untuk turut sama menjadi pemain utama industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pegawwi Eksekutid LADA Dato’ Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B).
Comments