Lagi masalah air di Sepanggar, penghuni rayu pihak berwajib beri penyelesaian
7 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Penduduk di Seri Maju Sepanggar Ria Apartment merayu kepada pihak berkaitan agar masalah air yang berlaku di kawasan perumahan itu sejak berbulan lamanya diselesaikan secepat mungkin.
Salah seorang penghuni di perumahan tersebut, James Tumbil berkata, walaupun adakalanya terdapat kemasukan air di tangki perumahan tersebut, ianya masih tidak mencukupi untuk menampung seramai lebih kurang 5,000 penduduk di situ.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa terdapat sesetengah blok terutama penghuni di tingkat tiga dan empat sudah tidak mempunyai bekalan air selama dua minggu.
“Aduan sudah pun di buat kepada pihak pengurusan, tetapi mereka tetap memberi banyak alasan. Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) juga ada datang beberapa kali untuk memberi air, tetapi ianya tidak mencukupi dan tidak sampai kepada penghuni di tingkat atas.
“Keadaan rumah pun sudah tidak terurus disebabkan masalah air ini. Kami tidak dapat memasak dan mencuci piring, apatah lagi mencuci pakaian.
“Jika ada bantuan air tiba, kami terpaksa mengangkut air dari bawah ke tingkat atas. Itu pun jika masih ada air ketika kami tiba. Jika sudah habis, kami terpaksa membeli air di luar,” katanya ketika ditemu bual oleh Nabalu News. Tambah James, masalah air sejak dua minggu lepas adalah yang paling teruk setakat ini dan walaupun aduan sudah diajukan kepada pihak pengurusan dan JANS, kedua-dua pihak tersebut saling memberi alasan. “Akhirnya, penduduk di blok kami sendiri telah berbincang untuk membeli tangki air kegunaan sendiri. Kami sudah memberi cadangan dan usul kepada pihak pengurusan untuk menambah bilangan tangka air, tetapi malangnya sehingga kini mereka belum mengambil sebarang tindakan,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ann berkata isu air ini telah teruk menjejaskan kehidupan beliau sekeluarga. “Penderitaan saya bermula pada bulan Mei lepas, di mana pada ketika itu kami tidak mempunyai bekalan air selama lebih daripada dua minggu dan dan ketika itu, saya telah dijangkiti Covid-19. “Oleh kerana tiada air di rumah, saya terpaksa menumpang ke rumah kawan untuk mandi dan tanpa saya sedari, salah satu rakan serumah teman saya pada ketika itu telah jatuh sakit dan kemudian disahkan positif Covid-19,” katanya. Tambahnya, walaupun air telah dicatu, penduduk masih juga mengalami masalah tekanan air yang rendah, terutama sekali penghuni rumah yang tinggal di tingkat paling atas seperti yang dijelaskan oleh James.
“Setiap hari, saya dan anak-anak buah saya terpaksa berulang-alik sebanyak hamper 10 kali mengangkat bergelen-gelen air dari tangki kecemasan air di bawah dan naik ke tingkat empat. “Saya juga pernah terjatuh dan terseliuh ketika mengangkat air naik ke rumah saya,” tambahnya. Jelasnya lagi, walaupun aduan sudah dilontarkan kepada pihak JANS, masa yang diambil untuk mengambil tindakan adalah sangat lambat. “Pada 25 Sept lalu, saya perasan air sudah tiada dan pada hari berikutnya saya menghubungi hotline JANS untuk membuat aduan. Beberapa hari kemudian, saya menghubungi pihak pengurusan untuk mengetahui status air di perumahan ini. “Walau bagaimanapun, mereka langsung tidak tahu akan kewujudan masalah tersebut, mereka menyangka bahawa status air di sini normal sahaja. “Selepas itu saya memberitahu penduduk yang juga tinggal di tingat empat untuk menghubungi pihak pengurusan dan membuat aduan jika mereka juga menghadapi masalah yang sama. Ternyata kesemua mereka juga mempunyai masalah yang sama,” tambahnya. Sejurus kejadian itu, Ann mendakwa hampir setiap hari beliau cuba menghubungi pihak JANS dan pihak pengurusan perumahan itu untuk mengetahui perkembangan isu air tersebut, malangnya alasan demi alasan diberi. “Setiap kali saya menelefon pihak pengurusan, mereka akan memberi jawapan yang berulang iaitu masih menunggu tindakan dari pihak JANS,” katanya. “Setelah beberapa hari mencuba dan diberi jawapan yang sama, akhirnya pihak JANS telah mengeluarkan notis gangguan air serta menghantar juruteknik untuk memeriksa pam air. “Pada pendapat saya, kedua-dua pihak tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani masalah ini dengan cepat. Bagi mereka, masalah itu selesai asalkan penghuni di tingkat bawah mendapat bekalan air, manakala penghuni yang tinggal di tingkat atas terpaksa menanggung sengsara,” ujarnya lagi. Ann berkata, beliau dan keluarganya jugua terpaksa mengikat perut untuk berjimat kerana perlu menggunakan sejumlah wang yang besar untuk membeli air mineral dan menghantar pakaian kotor ke dobi pakaian. Oleh itu, beliau merayu kepada pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kerana ketiadaan air menjejaskan kehidupan harian para penduduk di situ yang terpaksa mengorbankan kesihata dan kewangan mereka. “Kehidupan seperti ini sangat memenatkan, hari-hari bangun dan bertanya jika masalah air sudah selesai.”
Comments