Laksanakan Reformasi Dasar, Institusi Dengan Cepat, Guna Kaedah Berkesan - PM Anwar
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_2588fda63fc74efda3d56811755b7cc4~mv2.webp/v1/fill/w_980,h_657,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_2588fda63fc74efda3d56811755b7cc4~mv2.webp)
12 Februari 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan formasi dasar serta institusi di negara ini dilakukan dengan cepat dan menggunakan pelbagai kaedah yang lebih berkesan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata usaha berkenaan perlu diberikan perhatian, kerana masih terdapat pihak menggunakan kaedah serta pendekatan lama.
Mengambil contoh pemerkasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, Anwar berkata kaedah lama dalam melaksanakan dasar berkenaan perlu diubah.
“Selain memantapkan bahasa Melayu, adalah (perlu) untuk memberikan sedikit anjakan iaitu memastikan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu cukup mantap dalam kalangan pelajar terutama peringkat menengah.”
“Kalau ikut unjuran biasa, keputusan kita pada 2023, (dasar) akan dirangka 2024 dan akan diputuskan 2025. Akan dimulakan rancangan ujian pula pada 2026 dan (bermula) 2027 dijalankan peringkat awal manakala (pada) 2028 baru dapat cuba laksanakan. Tidak boleh lagi dah perencanaan begitu, itu perencanaan lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Anwar berkata mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid akan dipertingkatkan mulai tahun ini, manakala kedudukan bahasa Melayu dikuasai tanpa tolak ansur.
Sementara itu, Anwar menegaskan usaha reformasi sebarang dasar dan institusi kerajaan perlu memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Kita bicara soal reformasi institusi bagi rakyat, (tetapi) dia tidak lihat kesannya. Ini masalah yang disebutkan disconnect antara dasar dan prakarsa baharu yang kita bentangkan dengan (tujuan memberi) manfaat secara langsung dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji prestasi baik dipamerkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat ini.-BERNAMA
Comments