top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Langgar SOP Covid, 15 kompaun dikeluarkan


Gambar Hiasan

3 Okt 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sebanyak 15 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dikeluarkan di seluruh Sabah hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun Berkata, daripada jumlah itu enam orang gagal mendaftar masuk premis, tiga orang gagal memakai pelitup muka, seorang membawa penumpang berlebihan dan lima orang tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.


Beliau berkata, dalam laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula sebanyak 957 premis perniagaan telah diperiksa oleh PBT di bawah kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


“Sebanyak dua notis dikeluarkan oleh PBT hari ini, iaitu masing-masing di Lahad Datu dan Penampang. Bagaimanapun tiada kompaun dikeluarkan oleh PBT.


“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga telah menjalankan pematuhan SOP ke atas 194 premis perniagaan dan 250 individu di 18 kawasan.


“Satu kompaun dikenakan ke atas individu dengan kesalahan individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau Buku Pendaftaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, rondaan Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) dan Rondaan Pemantauan Pematuhan SOP Peringkat Komuniti oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dilaksanakan di 248 Premis Perniagaan melibatkan 158 anggota APM.


“Sebanyak tujuh Notis Amaran dikeluarkan kepada premis perniagaan hari ini,” katanya.


Sementara, rondaan sama oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dilaksanakan melibatkan 121 anggota di 192 lokasi.



Comments


bottom of page