Lapan penonton sabung ayam didenda RM1,000 setiap seorang
13 November 2024
TAWAU: Lapan lelaki yang menonton aktiviti sabung ayam masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana berada di kawasan perlagaan haiwan tanpa kebenaran.
Tertuduh; Abdul Karim Manan, 57, Firdaus Saimin, 29, Zainal Abidin Husein, 63, Suriansah Bahar, 35, Irwan Lucas, 35, Latui Kasah, 72, Rosmin Lenter, 39, dan Robert Kondo, 36, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Amira Aidaku Aminuddin.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan lapang berhampiran sungai Kampung Pasir Putih, kira-kira jam 5 petang pada 20 Oktober 2024 lalu.
Mahkamah turut memerintahkan lapan lelaki berkenaan dipenjarakan selama tiga bulan, jika gagal membayar denda.
Dalam penghakimannya, Dayang Aidaku menasihatkan kesemua tertuduh supaya tidak lagi hadir berhimpun apabila ada aktiviti pertaruhan sabung ayam kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan 17 anggota polis di kawasan tersebut.
Hasil siasatan mendapati kesemua mereka berada di kawasan perlagaan haiwan tanpa kebenaran mana-mana pihak berkuasa yang sah, atau tanpa alasan munasabah dengan mengetahui bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan perjudian laga ayam.
Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 21 (2)(a) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang jika sabit kesalahan akan dihukum denda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun mengendalikan pendakwaan kes, manakala, lapan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhasarry P. Kang.
Comments