top of page
Wartawan Nabalu News

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sesak, jadual penerbangan terganggu

19 Julai 2024


KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kelam kabut apabila penumpang pesawat terpaksa beratur panjang untuk mendaftar masuk secara manual berikutan sistem tempahan dan daftar masuk terjejas oleh gangguan IT global.


Berita Harian memetik seorang pegawai perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan mengesahkan gangguan itu mengganggu operasi sejak kira-kira jam 1.30 petang.


"Apa yang saya tahu, hanya syarikat kami yang terkesan. Penumpang terpaksa beratur di kaunter untuk daftar masuk dan serahkan bagasi.


"Secara umumnya, masalah itu menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dijadual semula," katanya ketika ditemui di KKIA jam 8 malam ini.


Sementara itu, seorang pelajar universiti, Anusuiya Muniyan, berkata dia hanya mengetahui mengenai gangguan sistem itu apabila tiba di lapangan terbang kira-kira jam 5 petang.


Pelajar berusia 24 tahun itu sepatutnya pulang ke kampung halamannya dalam penerbangan yang dijadualkan pada jam 8.30 malam.


"Saya sudah daftar masuk secara dalam talian, tetapi perlu serahkan bagasi saya.


"Saya beratur giliran selama dua jam, tetapi kemudian saya dimaklumkan oleh kru syarikat penerbangan membenarkan penumpang penerbangan awal menghantar bagasi mereka terlebih dahulu.


"Penerbangan saya mungkin dijadual semula, tetapi saya tidak pasti bila boleh lakukan kerana kakitangan kaunter tiada di tempat mereka," katanya.

Comments


bottom of page