Laporan Polis dibuat oleh Pengerusi SESB berhubung sambungan haram di Lahad Datu
3 September 2024
LAHAD DATU: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, hari ini telah mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis berhubung kegiatan sambungan haram dan kecurian elektrik yang berleluasa di Kampung Puyut, Lahad Datu.
Tindakan ini diambil selepas Madius sendiri melakukan tinjauan di kawasan setinggan tersebut dan mendapati aktiviti tersebut dilakukan secara terang-terangan.
Madius menjelaskan bahawa sambungan haram ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mendatangkan kerugian besar kepada SESB.
"Ini adalah satu kegiatan yang sangat serius, dan oleh itu saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, terdapat lebih 1,000 rumah di Kampung Puyut yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini, menyebabkan kerugian kepada SESB yang dianggarkan mencecah RM1 juta.
Laporan polis tersebut bertujuan untuk memohon pihak berkuasa menyiasat individu-individu yang terlibat dalam sambungan haram tersebut dan sama ada ia dilakukan oleh penduduk setempat atau sindiket tertentu.
Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran, turut menggesa agar siasatan dilakukan untuk memastikan jika kegiatan sambungan haram ini melanggar mana-mana enakmen, akta, atau undang-undang yang sedia ada.
"Jika ya, apakah hukuman yang boleh disabitkan kepada individu-individu yang terlibat," tambahnya.
Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya siasatan untuk menentukan jumlah sebenar kerugian yang ditanggung oleh SESB akibat kegiatan mencuri elektrik ini.
"Laporan ini juga dibuat untuk memastikan tiada yang menjadi mangsa renjatan elektrik kerana sambungan haram ini sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa orang awam termasuk penduduk Kampung Puyut sendiri," ujar Madius.
Kommentare