top of page
nabalunews

Latihan percubaan PLKN 3.0 mula Januari 2025 - Adly




17 November 2024


SEREMBAN: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula 12 Januari tahun hadapan membabitkan seramai 200 orang pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata ia membabitkan latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun 2024.


Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama dua minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.


"Ia adalah sebagai percubaan kerana sesi sebenar akan bermula pada bulan Jun 2025, melalui percubaan ini saya fikir ia boleh menilai keberkesanan silibus dan juga modul latihan seterusnya boleh dilakukan penambahbaikan.


"Kita ada banyak pengalaman melalui PLKN yang dulu, saya fikir menerusi kaedah ini (percubaan) ia akan dapat mempercepatkan proses kita untuk melengkapkan dan memastikan pada Jun kita bersedia sepenuhnya.


"PLKN kali ini akan dilaksanakan melalui kem Wataniah di seluruh negara cuma kali ini hanya dimulakan dengan satu kem yang membabitkan seramai 200 pelatih," katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.


Adly berkata, Kementerian Pertahanan tidak mempunyai masalah untuk mencapai bilangan 200 orang pelatih selain mereka yang mendaftar secara sukarela.


"Buat masa ini, kita memang tumpukan kepada pelajar lepasan SPM cuma daripada segi akta sahaja yang menyebut ia boleh disertai pelatih sehingga usia 35 tahun," katanya.

Comments


bottom of page