top of page
  • nabalunews

Lawatan ke luar negara oleh kementerian, syarikat dan agensi kerajaan perlu mendapat kelulusan Menteri - Anwar

20 September 2024


PUCHONG: Semua projek, lawatan, dan tugasan ke luar negara yang melibatkan kementerian, syarikat, serta agensi kerajaan perlu mendapat kelulusan daripada Menteri.


Selain itu, permohonan tersebut juga perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan masing-masing sebelum kelulusan menteri diberikan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh lembaga syarikat dan agensi kerajaan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau manfaat tertentu yang tidak memberi pulangan positif kepada negara.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sendiri telah membatalkan permohonan yang melibatkan penyertaan seramai 68 kakitangan kementerian dan agensi kerajaan untuk menghadiri sebuah pameran kecil di Berlin, Jerman. Jumlah kakitangan yang terlibat dianggap tidak wajar dan berlebihan memandangkan skala pameran tersebut yang tidak memerlukan kehadiran sebegitu ramai.


“Walaupun tiket hotel dan penerbangan telah disediakan, saya batalkan, kerana jumlah yang didaftarkan terlalu ramai. Hanya sebahagian kecil mungkin diperlukan untuk tugasan tersebut. Ini adalah pelanggaran peraturan. Ini dana rakyat dan kita harus tanggungjawab.


“Saya semalam telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausana Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan untuk menegaskan pendirian kerajaan dan minta kerjasama mereka dalam hal ini,” katanya.


Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini, hari ini.


Menjelas lanjut Perdana Menteri berkata semua menteri bertanggungjawab terhadap sebarang kelulusan yang diberikan.


“Menteri yang ingin melawat mana-mana negara perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri, dan biasanya kita akan menilai semula sama ada perlu membawa kakitangan tertentu atau tiada keperluan sama sekali," katanya.


“Atau lebih baik tangguhkan sahaja lawatan tersebut dan sekalikan dengan lawatan Perdana Menteri, di mana, MoU (Memorandum Persefahaman) boleh turut ditandatangani dalam majlis yang sama. Ini akan jimat belanja,” katanya.


Perdana Menteri berkata reformasi di dalam kerajaan perlu dilakukan secara berterusan dan sebarang pelanggaran kepada usaha tersebut, tidak boleh dibiarkan berlaku.

Comments


bottom of page