top of page
nabalunews

Lawatan PM Anwar ke lima negara jana pelaburan RM12.8 Bilion



22 November 2024

 

PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara baru-baru ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik, malah berjaya menarik pelaburan bernilai RM12.8 bilion serta membuka peluang pasaran baharu bagi Malaysia. 

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hasil lawatan tersebut, Malaysia turut mendapat manfaat strategik dalam bidang tenaga boleh baharu, automotif, dan pensijilan halal, selain memperluaskan akses pasaran ke rantau seperti Amerika Latin dan utara Afrika. 

 

“Manfaat lawatan termasuk pembukaan peluang pasaran baharu dan pengukuhan hubungan diplomatik. Selain itu juga terdapat perkongsian strategik dalam tenaga boleh baharu, automotif serta pensijilan halal," katanya dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat kabinet.

 

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut memaklumkan bahawa lawatan tersebut telah menjimatkan kos kerajaan hampir RM1 juta menerusi penggunaan pesawat khas. 

 

“Kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta melalui sewaan pesawat khas Airbus A350 Malaysia Airlines berbanding RM2.5 juta jika menggunakan pesawat rasmi kerajaan. Kos ini adalah 27 peratus daripada kos keseluruhan,” jelas beliau. 

 

Fahmi menegaskan, keseluruhan kos lawatan rasmi ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, dan Qatar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa melibatkan pembiayaan daripada syarikat swasta yang turut menyertai delegasi tersebut. 

Comments


bottom of page