top of page

Lebih 100 tan sampah berjaya dibersihkan di Kampung Pukat, Sandakan

nabalunews

Sebelum kerja-kerja pembersihan itu

26 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Penduduk setempat disaran agar terus menghargai usaha pembersihan di kawasan Kampung Pukat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, ia termasuk kesedaran untuk tidak lagi membuang sampah ke laut. 


Katanya, penduduk kampung digesa untuk bekerjasama memelihara ekosistem marin serta menjaga keindahan semula jadi kampung berkenaan.

“Baru-baru ini, operasi mega membersihkan kawasan Kampung Pukat berjaya mengumpul lebih 100 tan sampah.


“Operasi pembersihan itu melibatkan penggunaan jentera berat untuk mengangkut sampah dan memakan masa sehingga empat hari,” katanya dalam satu kenyataan disini pada Sabtu.


Sehubungan itu, George merakam penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) atas sokongan penuh termasuk menghantar pasukan kebersihan serta menguruskan pengangkutan sampah yang dikutip.

Selepas kerja-kerja pembersihan itu

Katanya, inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan daripada Persatuan Komuniti Kampung Pukat, yang bekerjasama memastikan kejayaannya.


“Kampung Pukat merupakan salah satu penempatan awal komuniti Cina di Sandakan di mana penduduknya sebelum ini bergantung kepada aktiviti perikanan sebagai sumber rezeki. 


“Kini, kawasan ini terkenal dengan makanan laut, produk makanan laut kering serta ikan masin yang menjadikannya destinasi popular bagi pelancong domestik dan antarabangsa.


“Bagaimanapun, masalah kebersihan kekal menjadi cabaran utama untuk mempromosikan kawasan ini,” katanya.


Justeru itu, George berharap penduduk dan semua pihak memainkan peranan untuk sama-sama memastikan kawasan itu terus bersih dari sampah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page