Lebih banyak bekalan air apabila projek siap pada bulan Mei – Shahelmey
15 Jan 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Projek Skim Bekalan Air Segera di loji Rawatan Air Kasigui dekat sini dijangka siap Mei, tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata projek yang dimulakan pada Mei 2024 itu mampu membekalkan lima juta liter air setiap hari apabila siap.
"Terdapat beberapa isu teknikal tetapi kita telah menemui jalan untuk menyelesaikannya supaya kerja dapat diteruskan dan disiapkan pada Mei, tahun ini," katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kasigui disini.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata air yang dibekalkan daripada loji itu kelak akan membantu menangani isu gangguan air yang dihadapi pengguna air.
Menurut Shahelmey, beliau telah menerima beberapa aduan daripada Kota Kinabalu dan Putatan berhubung tekanan air rendah.
"Terdapat aduan mengenai jadual catuan air di Penampang".
"Saya telah menghubungi dengan Jabatan Air dan mendengar pendekatan mereka untuk mengurangkan gangguan air di Kota Kinabalu, Putatan dan tempat lain," katanya.
Antara faktor penyumbang, kata Shahelmey, ialah kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi di Sabah serta paip pecah yang tidak dapat dikesan.
“Jabatan Air sedang menyelaras untuk pengimbangan air dan pengimbangan tekanan di kawasan pantai barat, dan itu juga menyebabkan gangguan, dan saya gembira pagi ini tekanan air telah bertambah baik.
Saya telah meminta Jabatan Air untuk berwaspada, terutama semasa perayaan dan cuti di mana berlaku lonjakan penggunaan air,” katanya.
Difahamkan ribuan penduduk di 15 kampung di Penampang terjejas akibat catuan bekalan air yang bermula Isnin.
Comments