top of page
nabalunews

Lebih RM380 juta transaksi mencurigakan dikesan, dihentikan institusi kewangan

22 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Transaksi mencurigakan bernilai lebih RM380 juta telah dapat dikesan dan dihentikan oleh institusi kewangan berikutan pelaksanaan kawalan dan keselamatan transaksi kewangan dalam talian, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Sehubungan itu beliau menghargai usaha bermakna yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri kewangan untuk mempertingkatkan kawalan dan keselamatan transaksi kewangan dalam talian.


“Bilangan kes yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang membabitkan penipuan menggunakan perisian hasad dan pancingan data atau ‘phishing’ juga telah menunjukkan trend penurunan,” katanya pada Majlis Pelancaran Portal Fraud Kebangsaan (NFP) di sini, semalam.


Portal berkenaan dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan institusi kewangan sebagai platform bersepadu bagi memperkukuh keupayaan operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), lapor Buletin TV3.


Amir Hamzah berkata, usaha untuk memastikan ekosistem digital kekal selamat, melangkaui sektor kewangan.


Beliau berkata, sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah untuk melarang penggunaan hyperlink dalam SMS bagi mengelakkan penipuan secara phishing.


Katanya, cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Digital yang akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini, juga bertujuan memperkukuh langkah pencegahan dalam ekosistem digital negara.


“RUU ini bertujuan memperkasakan pihak penguatkuasa untuk menghentikan cubaan penipuan pada peringkat awal dalam platform digital.


“Setelah diwartakan, RUU ini juga akan memberi kuasa kepada agensi berkaitan untuk membentuk kod amalan dan menjalankan siasatan bagi mencegah penipuan daripada berleluasa,” katanya.


Amir Hamzah berkata, selain langkah pencegahan, usaha penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan.


Beliau berkata, pindaan terbaru Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah adalah bukti ketegasan kerajaan dalam memerangi penipuan kewangan.


Katanya, pindaan itu meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan undang-undang, seperti Polis Diraja Malaysia, untuk menangani jenayah siber yang semakin kompleks.



­

Comments


bottom of page