Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur dijangka siap Okt 2024
Wartawan Nabalu News
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_28766f82d5904954b2bf63e7712ed942~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_637,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_28766f82d5904954b2bf63e7712ed942~mv2.jpeg)
6 Nov 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid sepanjang 58 kilometer dijangka siap Oktober 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan projek bernilai RM877 juta itu membabitkan tiga pakej iaitu pakej 28, 29 dan 30.
“Pakej Kerja 28, 29 dan 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid sepanjang 58km merangkumi tiga Pakej Kerja berjumlah RM877 juta merupakan tambahan kepada 11 Pakej Kerja yang telah dimulakan pembinaan seawal tahun 2016.
“Skop pembinaan tiga Pakej Kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Sandakan Mile 32 ke Sungai Baoto, ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh, dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.
“Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur itu, di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, hari ini.
Ismail berkata, hasrat Kerajaan Persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung.
“Rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.
“Kerajaan yakin, Projek Lebuhraya Pan Borneo ini bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya,” katanya
Comments