top of page

Lelaki bawa 1 kg syabu diberkas

nabalunews


25 Mac 2025


PENAMPANG: Seorang lelaki yang disyaki bertindak sebagai transporter ditahan bersama satu kilogram dadah dalam operasi di kawasan perumahan Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini, Ahad lalu.


Dalam operasi kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia 22 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketika operasi dijalankan, suspek ditahan sebelum pemeriksaan tubuh badan terhadapnya dilakukan.



Katanya, hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan satu beg plastik hitam yang dipegang di tangan kanannya.


“Pemeriksaan ke atas beg plastik itu menemui satu paket plastik lutsinar berisi satu paket plastik warna hijau tertulis 'Guanyinwang'.


"Di dalamnya terdapat satu lagi paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu," katanya dalam sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 2025, di IPD Penampang di sini, hari ini.



Sammy berkata, dadah yang dirampas mempunyai berat kasar 1,014 gram dengan anggaran nilai pasaran RM30,000.


"Siasatan mendapati suspek disyaki berperanan sebagai transporter dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.


"Hasil siasatan juga mendapati, dadah ini dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini, Papar, Penampang dan Kota Kinabalu serta berpotensi membekalkan kira-kira 5,000 penagih dadah," katanya.


Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.


"Polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan ini," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page