Lelaki buat hantaran hina agama Islam ditahan
22 November 2024
TAWAU: Polis Tawau menahan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun kerana disyaki menghina agama Islam melalui satu hantaran di media sosial yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek seorang rakyat tempatan, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) kira-kira jam 12.15 tengah malam semalam di kawasan bandar.
Menurutnya, suspek yang juga pemilik akaun media sosial tersebut ditangkap selepas pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 25 tahun.
"Lelaki itu mendakwa melihat satu kenyataan tular dimuat-naik di Facebook yang dianggap menyinggung sensitiviti umat Islam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti niat di sebalik kenyataan yang dimuat naik oleh individu berkenaan, seperti aduan orang awam itu.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama.
Siasatan juga turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Jasmin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan serius ke atas sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan etnik di negara ini.
Katanya, perbuatan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan serta mencabar keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama, khususnya di daerah ini.
Comentários