top of page
nabalunews

Lelaki dipukul dan dikurung keluarga teman wanita


20 Disember 2024


TAWAU : Seorang lelaki mendakwa dikurung dan dicederakan keluarga teman wanitanya dalam satu kejadian di sekitar Kampung Merotai Besar, Tawau pada Selasa.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian bermula apabila mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumahnya telah menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.


Menurutnya, mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas dari suspek teman wanitanya kira-kira jam 7 pagi keesokkan harinya yang meminta mangsa untuk datang ke rumahnya.


“Sejurus tiba di rumah suspek 3 jam kemudian, mangsa diarah masuk ke dalam sebuah bilik dan mendakwa dia telah dikurung oleh bapa wanita terbabit.


“Situasi bertambah tegang apabila dia dipukul dengan kepala tali pinggang serta ditumbuk di bahagian kepala oleh abang kepada teman wanitanya dan mangsa juga turut diancam dengan sebilah pedang samurai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Katanya, wanita terbabit didakwa turut mencederakan mangsa dengan seterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kiri mangsa melecur.


Menurutnya, mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam.


Sementara itu, bertindak atas maklumat kira-kira jam 10.30 malam, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bombalai berjaya menangkap dua suspek lelaki berusia 30 tahun dan 64 tahun serta seorang suspek wanita berusia 25 tahun selepas cuba untuk melarikan diri.


Ujarnya, turut dirampas sebuah seterika dan sebuah telefon bimbit serta sebilah pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian.


Tambahnya, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat serta menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah.

Комментарии


bottom of page