top of page
nabalunews

Lelaki ditahan bersama dadah ekstasi, eramin 5


5 Oktober 2024

PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis ekstasi dan pil disyaki eramin 5 dalam serbuan di sebuah apartment di Jalan Bundusan, di sini semalam.


Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui lima peket plastik disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 155.9 gram dan satu strip yang mengandungi 10 biji pil disyaki pil eramin 5 seberat tiga gram dalam simpanannya.


“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM3,700 dan suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dibuat.


“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.


“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Sementara itu, Sammy mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah.

Comments

Couldn’t Load Comments
It looks like there was a technical problem. Try reconnecting or refreshing the page.
bottom of page