Lelaki ditemui mati dibunuh di Merotai Besar
6 November 2025
TAWAU: Mayat seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh dalam pergaduhan ditemui dengan kesan tetakan di kepala, dalam sebuah rumah kebun di Jalan Sing Ho Merotai Besar, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa adalah warga tempatan, 66, yang ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kiri dan kanan kepala dipercayai akibat ditetak dengan parang.
Menurutnya, Balai Polis Bombalai menerima maklumat kejadian pada jam 2.44 petang daripada seorang pemanggil lelaki yang mengatakan pada jam 1.45 petang berlaku pergaduhan dengan menggunakan parang di lokasi tersebut.
"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai menuju ke tempat kejadian,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, apabila sampai di lokasi, polis memaklumkan penemuan mayat lelaki berkenaan di dalam sebuah rumah kebun di Merotai Besar yang kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat.
Susulan itu, katanya, polis menangkap seorang suspek lelaki warga asing, 33, dan turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa dalam kejadian tersebut.
“Suspek merupakan warganegara asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan bekerja sebagai buruh ladang di sebuah kebun di Merotai Besar,”katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat salah faham di antara mangsa dan suspek.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.
Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Comments