Lelaki hilang di kebun ditemui selamat pada hari kedua operasi SAR
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

22 April 2025
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu selepas keluar ke kebunnya di Kampung Gansurai akhirnya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung pada pagi Selasa.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud pada 21 April 2025 jam 8.45 malam.
Sebaik menerima maklumat, seramai 11 anggota BBP Kota Belud bersama satu anggota unit drone telah digerakkan ke lokasi, sejauh 35 kilometer dari balai, dan tiba pada jam 10.05 malam.
Mangsa dikenali sebagai Luise Endriuqe Seminding, lelaki berusia 26 tahun, disedari hilang pada jam 6.00 pagi, 20 April lalu. Difahamkan, mangsa sering mengalami gangguan emosi sejak kembali dari bekerja di Korea pada tahun 2018.
Menurut Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu, pencarian pada hari kedua bermula sekitar jam 10.05 pagi bersama anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan 50 orang penduduk kampung.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat pada jam 10.13 pagi, kira-kira 2.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada risiko lain, operasi SAR ditamatkan pada jam 10.25 pagi.
Comments