Lelaki hilang disambar buaya ditemui tidak sempurna
nabalunews

28 Februari 2025
SANDAKAN: Lelaki yang hilang selepas disambar buaya di sungai Kampung Sungai Batang Baru, Batu 10, di sini, semalam, ditemui dalam keadaan tidak sempurna.
Mangsa Ramli Mohd Isa, 50, ditemui oleh orang awam pada jam 8.44 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 9.34 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam kejadian semalam, mangsa dikatakan sedang menabur baja ke dalam sungai untuk memulakan aktiviti merambat ikan.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan disambar seekor buaya sebelum disedari hilang dan operasi SAR segera dijalankan selepas pihak polis menerima maklumat pada jam 5.40 petang, semalam.