top of page
  • nabalunews

Lelaki hilang selepas bot bertembung ditemui lemas




25 September 2024


SANDAKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot di perairan Kampung Bahagia, di sini ditemukan lemas, pagi tadi.


Mayat Adzmin Isa, 33, ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang, pada jam 9.50 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 malam, semalam.


Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).


“Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot orang awam.


“Mangsa ditemukan terapung oleh orang awam berhampiran dari lokasi kejadian pada hari kedua operasi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.30 pagi.


Terdahulu, bot yang mangsa bersama empat rakannya dipercayai bertembung dengan sebuah lagi bot lain di perairan berkenaan semalam, sebelum mangsa dilaporkan terjatuh dan hilang di laut.

Comments


bottom of page