Lelaki maut dalam kemalangan dua lori di Jalan Telupid-Sandakan

28 Februari 2025
BELURAN: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kenderaan dalam satu kemalangan membabitkan dua lori di Kampung Bauto, Jalan Telupid-Sandakan, malam semalam.
Menurut Komander Operasi PBK I KUP Rahmat Rudat, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 malam, sebelum empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran bergegas ke lokasi sejauh 70 kilometer.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori Nissan Box sepuluh tan bertembung dengan lori Foton Box tiga tan.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit, namun mangsa, seorang lelaki berusia 44 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi penyelamatan tamat pada jam 1.34 pagi.
Comments