top of page

Lelaki maut dalam kemalangan libatkan empat kenderaan di Jalan Kunak-Tawau

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read


29 April 2025


TAWAU: Seorang lelaki berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Kunak–Tawau, tengah hari tadi.


Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 12.54 tengah hari.


Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama sebuah jentera FRT dan unit EMRS telah digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 52 kilometer dan tiba pada jam 1.43 petang.


Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya bin Abd Fattah melaporkan, "Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah lori lima tan, Mitsubishi Triton, Toyota Hilux SR, dan Perodua Aruz."


"Terdapat satu orang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis dan diserahkan kepada Pasukan PDRM untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Mangsa yang maut merupakan pemandu Perodua Aruz, manakala semua mangsa lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Setelah memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.42 petang.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page