top of page
nabalunews

Lelaki maut kereta bertembung Land Cruiser


21 Oktober 2024


KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Goshen, Kota Marudu, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kelisa, parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Manakala pemandu Toyota Land Cruise lelaki berusia 59 tahun, cedera dan dirawat di Hospital Kota Marudu.


Operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dijalankan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan lanjut di tempat kemalangan mendapati kenderaan jenis Toyota Land Cruiser datang dari arah Matunggong menuju ke Kampung Noloton, di sini.


“Setiba di jalan depan SMK Kota Marudu, kenderaan dipandu lelaki terbabit disyaki hilang kawalan lalu masuk ke laluan sebelah kanan dan melanggar kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa.


“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Land Cruiser cedera ringan di bahagian kepala manakala pemandu Perodua Kelisa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi media hari ini.


Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.


“Siasatan lanjut juga mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Toyota Land Cruiser kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan.


“Sampel darah kedua-dua pemandu telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Sementara itu, Simiun menasihatkan kepada semua pemandu supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Komentáře


bottom of page