top of page
nabalunews

Lelaki maut, van bertembung pacuan empat roda



Pasukan Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Semporna - Tawau.

9 Januari 2025


SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Nissan Urvan dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM 51) Jalan Semporna - Tawau, pagi tadi.


Pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Vigo tersebut turut tersepit pada kenderaannya dan dilaporkan mengalami kecederaan parah.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pemandu van, 40an, disahkan maut di lokasi oleh pasukan paramedik.


Manakala, pemandu pacuan empat roda, yang berusia 38 tahun dikejarkan ke Hospital Semporna dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Jelas beliau, pasukannya berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada kenderaan masing-masing dengan menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).


"Insiden tersebut berlaku ketika pemandu van dikatakan sedang menuju ke Tawau dari Semporna, manakala, pemandu Toyota Vigo pula datangnya dari arah bertentangan,"katanya dalam kenyataan media hari ini.


Madzlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 7.32 pagi dan mengerahkan sepasukan tujuh anggota serta dua jentera ke lokasi.


Jentera tiba di lokasi pada jam 8.07 pagi dan segera melakukan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.


Operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi selepas pihaknya memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

Comments


bottom of page