Lelaki melecur hampir seluruh badan ketika selamatkan diri dalam kebakaran
17 Disember 2024
KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur 80 peratus di badannya ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran flat didudukinya di Taman Nelly, Kolombong, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa Woo Chee Ke, 54, melecur hampir keseluruhan badan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.49 tengah malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati sebuah rumah flat di tingkat dua terbakar 20 peratus.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Agustavia berkata, terdapat seorang mangsa lelaki terbabit mengalami parah melecur 80 peratus ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran.
“Mangsa seterusnya dihantar ke HQE II untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1.42 pagi,” katanya.
Difahamkan mangsa tinggal di flat itu seorang diri.
Api dilaporkan berpunca dari dapur.
ความคิดเห็น