Lelaki merosakkan surau dengan batu Ditahan polis
- nabalunews
- 57 minutes ago
- 1 min read

23 April 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak merosakkan surau menggunakan batu dalam kejadian di Dumpas, Kalabakan, hari ini.
Lelaki berusia 30-an itu turut membimbangkan penduduk selepas dikatakan mengamuk sambil membawa tombak kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Polis Bantuan Brumas, Kalabakan selepas menerima laporan di Pos Kawalan Kalum Dumpas.
Katanya, suspek dikatakan membuat kerosakan di surau menggunakan batu dan mengamuk membawa tombak kelapa sawit.
“Bimbang akan keselamatan, penduduk di kawasan berkenaan membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.
“Hasil siasatan awal, suspek terbabit merupakan warga asing yang tinggal di kawasan berhampiran Ladang Dumpas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, pasukan operasi turut merampas sebatan tombak kelapa sawit dipercayai digunakan oleh suspek ketika mengamuk di lokasi kejadian.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Comments