nabalunews
Lelaki rentung, 3 kenderaan musnah kebakaran rumah di Sandakan
17 November 2024
SANDAKAN : Seorang lelaki berusia 35 tahun rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Karamunting di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dibina dari struktur kayu yang terbakar sepenuhnya.
"Ketika kejadian mangsa bersama adiknya berumur 25 tahun berada dalam rumah dan sedang tidur.
"Adik mangsa yang menyedari kebakaran cuba menyelamatkan mangsa yang berada di ruang tamu namun gagal kerana api merebak dengan cepat," katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Abdul Fuad berkata adik mangsa berjaya menyelamatkan diri namun mangsa gagal diselamatkan.
Katanya sebuah lori dan dua buah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumah tersebut turut terbakar.
"Pihak bomba berjaya memadamkan api sepenuhnya pada jam 9.30 pagi dan
Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat oleh pihak bomba.
Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Comments