Lelaki tempatan ditahan bersama lebih 30 gram syabu di Kudat

21 Februari 2025
KUDAT: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Menerusi kenyataan IPD Kudat, tangkapan dibuat di sebuah pondok kayu kecil di atas bukit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Landung Ayang, Kudat.
Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui beberapa paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 32.12 gram dengan nilai anggaran RM3,700.
Ketua Polis Daerah Kudat, SUPT Mohd Haris Bin Hj Ibrahim, memaklumkan bahawa suspek kini dalam tahanan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun serta maksimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah di daerah Kudat untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membanteras jenayah ini.
Comments