Lelaki tergamak ugut cederakan ibu dengan parang kerana wang
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

15 April 2025
TAWAU: Seorang lelaki tergamak mengugut mahu mencederakan ibunya sendiri dengan parang selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan dalam kejadian di Jalan Chester, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian jam 11.10 malam itu, suspek yang berusia 30-an, dikatakan bertindak agresif dengan mengugut ibunya.
"Suspek mengugut untuk memukul ibunya menggunakan parang dan tindakan agresif ini didakwa bukan kali pertama berlaku serta turut menyebabkan kerosakan kepada harta benda jiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek warga tempatan itu berjaya ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau sekitar jam 2 pagi di kaki lima sebuah bangunan di kawasan bandar Tawau.
Katanya, penahanan itu susulan laporan polis diterima daripada adik suspek pada jam 12.06 tengah malam, hari yang sama.
Jasmin berkata, suspek ditahan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Tambahnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis menyeru orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya berlaku ancaman atau keganasan di kalangan keluarga.
Tegasnya, laporan segera kepada pihak polis perlu diambil agar tindakan awal dapat dilakukan demi keselamatan semua pihak.
Comments