Lelaki ugut bunuh ahli keluarga sendiri ditahan polis

16 Mac 2025
TAWAU: Berang kerana disuruh keluar untuk mencari kerja, seorang lelaki mengamuk sehingga mengugut untuk membunuh seluruh ahli keluarganya sendiri.
Bimbang dengan keselamatan diri, satu laporan polis dibuat oleh mangsa yang juga abang kandung suspek.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian dilaporkan berlaku di rumah keluarga suspek di kawasan Tanjung Batu.
Katanya, mangsa mendakwa menerima ugutan jenayah selepas meleraikan pertengkaran antara adiknya yang juga suspek dan ibu mereka.
“Suspek yang berang terhadap teguran ibunya untuk keluar mencari pekerjaan telah mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya yang berada di dalam rumah ketika kejadian.
“Atas faktor keselamatan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan berkenaan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dikerah untuk menahan suspek.
Katanya, hasil serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan, pasukan polis berjaya memberkas suspek bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 44 tahun adalah seorang penganggur.
“Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk ditahan reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Comments