top of page

Lelaki ugut ibu kandung guna pisau ditahan di Tawau

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read


25 April 2025


TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang mengugut ibunya sendiri menggunakan sebilah pisau di Kampung Ranggu membawa padah apabila dia ditahan polis dalam serbuan yang dijalankan petang semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 petang apabila suspek bertindak mengamuk dan mengambil peralatan tajam sehingga mencetuskan ketakutan kepada mangsa.


“Suspek telah bertindak agresif dengan mengancam mangsa (ibu kandung) sehingga menyebabkan ketakutan. Mangsa kemudian tampil di balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Indah telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan risikan.


Menurut ACP Jasmin, lelaki berusia 35 tahun itu berjaya ditahan dan sebilah pisau berukuran 33 sentimeter, yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, turut dirampas dan diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan bukti.


“Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.


Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page