Lelaki warga asing maut ditikam di Kinabatangan
2 Disember 2024
KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang warga asing maut ditikam dalam pergaduhan di sebuah ladang di Kinabatangan, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, ASP Mohd Zulfikar Abd. Salam berkata ketika kejadian mangsa dan suspek sedang menghadiri majlis hari jadi anak kepada rakan sekerja mereka sebelum kedua-duanya yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, bergaduh.
Mohd Zulfikar berkata dalam kejadian sama, seorang lagi rakan sekerja mereka, lelaki berusia 24 tahun turut cedera ditikam suspek.
Mangsa pertama dan kedua ditikam dengan pisau berukuran kira-kira 30cm oleh suspek.
Mangsa kedua yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut sementara si mati telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.
Suspek pula telah melarikan diri dan gerakan memburunya giat dilakukan oleh polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek (gambar) boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi tindakan selanjutnya.
Comments