Lelaki warga asing rogol anak tiri sejak empat tahun lalu ditangkap polis
28 November 2024
TAWAU: Seorang lelaki yang disyaki merogol anak tirinya, sejak 4 tahun lalu ditangkap polis di sebuah perkampungan di Kalabakan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan.
Menurutnya, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa, 15 menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya sebelum tampil membuat laporan polis.
Mangsa sebelum itu, katanya, mengadu sakit perut dan dihantar oleh ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, pada Selasa lalu.
"Mangsa menceritakan perbuatan bapa tirinya kepada ibu saudaranya setelah pihak Hospital memaklumkan tahap kesihatan mangsa kepadanya.
"Berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa berusia 11 tahun lagi, sehingga yang terbaru pada bulan lalu di rumahnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen sah.
Mengulas lanjut, beliau menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang tanda-tanda penderaan seksual bagi melindungi golongan yang lemah, terutamanya kanak-kanak dan remaja daripada menjadi mangsa keganasan seksual.
Comments