Lelaki warga asing serang guna parang dan kayu ditahan polis
2 December 2024
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat kes menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki, menggunakan parang dan kayu dalam kejadian di Kampung Titingan, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan media hari ini, berkata, suspek berusia 30an itu ditangkap jam 5.30 petang pada hari yang sama
Dua batang kayu dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut turut dirampas.
Manakala, beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu sedang diburu polis.
Menurutnya, suspek ditahan selepas ibu saudara mangsa, 67, membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang yang mendakwa adik saudaranya dipukul dalam satu perselisihan faham berkaitan basikal yang dipinjam.
Jasmin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek sedang berbincang mengenai dakwaan bahawa anak buah suspek sering mengugut anak buah mangsa.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu bertukar tegang apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut lalu bertindak memukul mangsa.
"Setelah itu, mangsa pulang ke rumah dan tidak lama kemudian suspek datang semula bersama empat rakan dan bertindak memukul mangsa dengan bersenjatakan kayu dan parang," katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera di tangan dan muka dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat yang berbahaya.
Tambahnya, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Comments