nabalunews
Lelaki warga emas lakukan amang seksual fizikal dipenjara dan disebat
8 January 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Disember lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roberto Sairal, 59, yang melakukan perbuatan itu dengan meraba buah dada dan memegang perut mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Semporna kira-kira jam 8 malam pada 23 Disember 2024.
Tertuduh diperintahkan mahkamah untuk menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap iaitu 24 Disember 2024, selain diperintahkan menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun apabila selesai hukuman.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan disebat.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku semasa mangsa sedang membasuh piring di rumah ibu saudaranya yang merupakan pengadu dalam kes itu, iaitu ketika tertuduh pergi ke tandas untuk mencuci tangan selepas selesai mengurut bapanya yang lumpuh.
Dalam kes berasingan, seorang pemandu Maxim (e-hailing) didakwa menganiaya anak kandungnya dengan memukul, menggigit dan mencubit mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mangsa yang berumur setahun 11 bulan.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Syazmansyah Anak Mohd Lani, 25, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Tawau, sekitar jam 5 petang pada 6 Oktober 2024.
Menurut fakta kes, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian kerana tertekan apabila anaknya menangis secara tidak berhenti-henti ketika membawa isterinya (pengadu) dan mangsa berjalan-jalan di Jalan Persisiran Highway dan kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan lebam pada muka dan seluruh badan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1)(a) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50, 000 atau dipenjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala, tertuduh masing-masing tidak diwakili peguam.
Comments