top of page
  • nabalunews

Lelaki warga emas maut, 10 jam tersepit akibat kemalangan lori simen



23 September 2024


LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas lori tangki membawa muatan simen yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Batu 18, Jalan Sandakan – Lahad Datu, awal pagi tadi.


Mangsa Abd Halim Bolong, 72, disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari tadi, selepas kira-kira 10 jam kemalangan berlaku.


Usaha mengeluarkan mangsa dari kenderaannya sukar kerana lori tangki simen terbabit terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.42 pagi.


Katanya, sepasukan 20 pegawai dan anggota dan bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 29 kilometer dari balai.


Operasi menyelamat mangsa turut dibantu sepasukan 5 anggota dari BBP Kinabatangan.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.


“Pemandu lori terbabit tersepit dan tertimbus di dalam tanah, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.


“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Operasi bomba ditamatkan jam 12.30 tengahari tadi.

Comments


bottom of page