top of page
nabalunews

Lembaga Padi bakal terima peruntukan bangunkan industri padi tahun depan

2 November 2024


KOTA KINABALU: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang baru ditubuhkan dijangka menerima peruntukan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan industri padi bermula tahun hadapan.


Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata LPBS telah mengadakan mesyuarat lembaga pengarah pertamanya baru-baru ini, dan operasi penuh dijangka bermula pada tahun depan.


Menurut beliau, pada peringkat awal, LPBS akan memfokuskan operasi di enam daerah utama di Sabah untuk meningkatkan pengeluaran padi negeri ke tahap sara diri yang mampan, sejajar dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.


“Kita sudah ada Lembaga Padi dan Beras Sabah dan sudahpun mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya yang pertama.


“Tapi, untuk tahun ini hanya peruntukan kecil untuk menghidupkan semula lembaga itu saja. Bajet utama akan diterima pada tahun depan.


“Ia akan beroperasi di enam daerah (pengeluar padi) bagi meningkatkan pengeluaran padi dan menambah baik sistem saliran,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, berkata di bawah LPBS, pesawah juga akan diperkenalkan dengan benih padi berhasil tinggi.


“Selain itu, kita juga akan menggalakkan pesawah di Sabah untuk melakukan penanaman dua kali bagi menggandakan pengeluaran padi.


“Sekarang hasil yang boleh dituai kira-kira tiga tan sehektar, jadi kita mahu gandakan kepada enam tan sehektar. Jika tanam dua kali setahun, hasil tuaian dapat digandakan dengan lebih banyak,” katanya.


Pada masa yang sama, katanya LPBS juga akan melaksanakan usaha mengaktifkan semula sawah terbiar yang dianggarkan seluas kira-kira 7,000 hektar, selain membuka kawasan penanaman baharu padi.

Comments


bottom of page