top of page
nabalunews

Libat Urus Penilaian Pencapaian Pelan Induk Kadamaian Jangka Pendek 2020-2025 bagi JKKK Zon Piasau dan Tambulion


16 November 2024


KOTA BELUD: Sesi Libat Urus Penilaian Pencapaian Pelan Induk Kadamaian Jangka Pendek 2020-2025 bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Zon Piasau dan Tambulion, Kota Belud telah diadakan pada Jumaat 15 November bertempat di Dewan Pejabat ADUN N11 Kadamaian. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).


Tujuan utama sesi ini adalah untuk menilai pencapaian serta kemajuan pelaksanaan Pelan Induk Kadamaian Jangka Pendek 2020-2025, yang telah dirangka khusus untuk meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan komuniti di kawasan Kadamaian.


Melalui sesi libat urus ini, pihak JKKK bersama IDS dapat menilai keberkesanan pelbagai inisiatif dan projek yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020.


Selain menilai pencapaian, sesi ini juga memberi peluang kepada ahli JKKK untuk berbincang serta berkongsi pandangan mengenai cabaran dan keperluan semasa komuniti.


Input yang diperoleh dalam sesi ini akan digunakan untuk memperbaiki pelan tindakan masa depan, dengan matlamat memastikan bahawa setiap projek yang dilaksanakan adalah relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat.


Majlis turut menyaksikan kehadiran para pemimpin komuniti, wakil agensi kerajaan, serta ahli masyarakat setempat yang bersama-sama memberikan maklum balas serta cadangan bagi penambahbaikan pelan pembangunan Kadamaian. Ini mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif bagi masyarakat Kadamaian.


Pengerusi JKKK Kampung Piasau, Jolyhame Saran ketika ditemubual mengenai sesi ini berkata program ini adalah satu inisiatif yang sangat baik.


Menurut beliau, ia memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan kampung.


“Menerusi program seperti ini, mana-mana entiti kerajaan yang terlibat dapat mengenal pasti fokus bantuan yang sesuai dengan agenda agensi masing-masing,” ujarnya.


Katanya program ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, tetapi juga menghubungkan komuniti dengan pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan yang relevan.


Apabila ditanya tentang manfaat program ini, Jolyhame menegaskan bahawa ia membuka ruang untuk penduduk berkongsi keperluan penting serta mendesak di kampung mereka.


"Ini membolehkan pihak kerajaan dan agensi terlibat memahami secara lebih mendalam isu-isu yang dihadapi komuniti setempat," tambahnya.


Tambahnya pendekatan ini memberi harapan bahawa segala isu yang diketengahkan akan menerima perhatian dan tindakan sewajarnya.


Jolyhame mengharapkan impak daripada program ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat nyata kepada penduduk kampung.


“Tindakan kerajaan adalah sangat ditagih untuk membangunkan kampung-kampung yang memerlukan bantuan,” katanya.


Beliau juga mencadangkan supaya hasil daripada perkongsian dan program ini dipantau secara berkala untuk memastikan ia benar-benar mencapai matlamatnya.


Menurutnya Kampung Piasau memiliki pelbagai potensi ekonomi yang boleh diketengahkan.


Antara aktiviti utama ialah aktiviti tamu mingguan yang menjadi platform utama untuk perdagangan hasil tempatan.


Potensi pelancongan yang masih belum diterokai sepenuhnya.


Pertanian dan perladangan adalah sumber pendapatan utama penduduk kampung, katanya.


Beliau berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak sokongan, khususnya dalam bentuk subsidi dan bantuan pemasaran, untuk memajukan industri-industri ini.


"Jika diberi perhatian, industri setempat ini boleh dijadikan perniagaan yang mapan dan mampu menyumbang kepada ekonomi kampung," tegasnya.


Kesimpulannya, pandangan Jolyhame mencerminkan keperluan sebenar komuniti luar bandar.

Comentarios


bottom of page