Libatkan ADUN bukan kerajaan dalam tiga jawatankuasa peringkat daerah - Ewon
18 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam tiga jawatankuasa utama di peringkat daerah iaitu Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Menurut beliau, penglibatan ADUN-ADUN pembangkang dalam ketiga-tiga jawatankuasa tersebut adalah penting bagi membolehkan peranan semak dan imbang dapat diperkasakan.
“Kesemua ADUN termasuk daripada luar kerajaan juga menyokong belanjawan tahunan dan belawan tambahan yang dibentangkan oleh Kerajaan. Maka adalah wajar ADUN-ADUN bukan kerajaan turut sama dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan belanjawan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat daerah.
“Saya menghargai jemputan yang diberikan oleh Kerajaan kepada semua ADUN bagi menghadiri acara-acara seperti ulangtahun Sabah Maju Jaya, Kaamatan, Hari Raya Puasa dan acara-acara lain. Tetapi alangkah baiknya jika jemputan ini dilaksanakan di peringkat daerah agar ADUN-ADUN bukan kerajaan juga boleh menghadiri mesyuarat tiga jawatankuasa tersebut,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2022, pada persidangan dewan undangan negeri, di DUN Sabah hari ini.
Menurut Ewon, penglibatan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam ketiga-tiga jawatankuasa tersebut merupakan satu inisiatif reformasi yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah yang ada hari ini.
Comments