Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL), Sabah FA tewas 0-3 kepada wakil Korea, Incheon Red Angels
nabalunews

4 Oktober 2024
WUHAN (China): Skuad bola sepak wanita Sabah FA memulakan kempen di Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) musim 2024/25 dengan kekalahan 0-3 di tangan wakil Korea, Incheon Red Angels, malam semalam.
Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Hakou Culture, Wuhan, China itu gawang Sabah FA yang dikawal oleh penjaga gol, Azurin Mazlan diasak hebat lawan yang juga juara 11 kali berturut-turut Liga Bolasepak Wanita Korea itu.
Benteng pertahanan Sabah FA yang diketuai kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur juga terpaksa bekerja keras di hampir sepanjang 90 minit perlawanan untuk mengekang serangan bertali arus
kelab Korea itu yang melakukan lebih 20 cubaan ke gawang Sabah.
Jentera serangan Sabah juga tumpul tanpa kelibat penyerang utama dari Myanmar, Win Theinge Tun.
Gol pertama Incheon Red Angels dijaringkan pada minit ke-25 menerusi sepakan penalti yang tenang disempurnakan Jang Chang selepas insiden bola terkena tangan Juliana Barek.
Red Angels menambah gol kedua menerusi pemain import dari Kenya, Terry Engesha pada minit ke-32.
Engesha melebarkan kelebihan pasukan dari Korea Selatan itu kepada tiga gol tanpa balas menerusi sepakan dari luar kotak penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Selepas ini, Sabah FA akan menentang pasukan Wuhan Jiangda pada 6 Oktober dan Abu Dhabi Country Club pada 9 Oktober dalam saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL).
Comments