top of page
nabalunews

Liga Super: Sabah FC menang besar di Likas, belasah Kedah Darul Aman 5-2

29 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Sabah FC meneruskan momentum kemenangan apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC, 5-2 dalam perlawanan bolasepak

Liga Super di Stadium Likas, malam ini.


Sabah membuka jaringan seawal minit kedua permainan menerusi sepakan penalti oleh pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani, selepas pemain Sabah, Gabriel Peres dijatuhkan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali.


Bagaimanapun, usaha The Rhinos menambah gol menerusi beberapa serangan berbahaya dapat dihalang Kedah.


Sebaliknya Sabah dikejutkan pada minit tambahan separuh masa pertama apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Jose Cleylton sebelum pengadil meniupkan wisel waktu rehat.


Pada babak kedua, Sabah kembali melakukan serangan bertali arus ke gawang pelawat yang akhirnya membawa kepada gol kedua tuan rumah menerusi penyerang importnya, Joao Pedro pada minit ke-48.


Kedah bagaimanapun sekali lagi dapat menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Milos Gordic pada minit ke-62.


Namun 6 minit kemudian, Pedro kembali meletakkan Sabah di hadapan 3-2 apabila meledak gol keduanya pada minit ke-68.


Sabah menambah derita Kedah menerusi 2 lagi gol jaringan S Kumaahran dan Gary Steven Robat pada minit ke-83 dan masa tambahan minit akhir perlawanan.


Keputusan muktamad di Stadium Likas, Sabah 5-2 Kedah Darul Aman.

Comentarios


bottom of page