top of page
nabalunews

Lima pelajar Sabah di UKKM terima biasiswa koperasi, IKMA: Ewon

15 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Lima pelajar Sabah yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima biasiswa daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua pelajar itu mengikuti program pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana menjurus kepada pengurusan perniagaan, koperasi dan Keusahawanan.


“Daripada lima pelajar itu, tiga daripada mereka ditawarkan biasiswa daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) dan dua orang lagi menerima tajaan daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMA).


“Ini adalah antara inisiatif saya dan usaha kerajaan melalui KUSKOP untuk memastikan anak-anak dari Sabah terutamanya pelajar golongan kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya, dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Canselor UKKM berharap lebih ramai pelajar khususnya dari Sabah memilih untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.


“Sebelum ini saya telah meminta pihak UKKM mengadakan pengambilan khas untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak. Ini juga selaras dengan fokus saya untuk memberikan fokus tambahan bagi kedua-dua negeri itu selain mengurangkan fokus sedia ada di kementerian,” katanya.


Beliau berkata, pelajar daripada anak kepada ahli mana-mana koperasi boleh memohon pembiayaan yang disediakan oleh kementeriannya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 


“Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) atau terus melalui saya untuk dipanjangkan kepada pihak UKKM, bagi tujuan penelitian. Kita juga akan terus memberi keutamaan kepada pelajar golongan B40,” katanya.


UKKM yang dikendalikan oleh IKMA, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menawarkan program pengajian bermula dari peringkat Diploma sehinggalah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) seperti berikut :


1.Diploma Pengurusan Koperasi

2.Diploma Keusahawanan Koperasi

3.Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian)

4.Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi)(Kepujian)

5.Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi)

6.Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepimpinan Korperat)

7.Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Keusahawanan


Program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (umum) akan mula ditawarkan pada Januari 2025 manakala "Doctor of Business Administration" (DBA) pula akan ditawarkan pada Julai 2025 menjadikan UKKM memiliki 9 program pengajian kesemuanya.


Kesemua program yang ditawarkan itu mendapat pengiktirafan akreditasi MQA/ KPT.

Comments


bottom of page