top of page

Liputan internet dan komunikasi di Sabah capai 94.40 peratus: Kementerian Komunikasi

nabalunews

25 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 94.40 peratus bagi tempoh setakat 31 Disember 2024.


Perkara itu dinyatakan oleh Kementerian Komunikasi dalam satu jawapan bertulis pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini.


Menurut kementerian itu, di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 426 daripada 659 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi.


“Sebanyak 4,874 daripada 4,884 stesen pemancar telah dinaik taraf.


“Manakala 269,788 daripada 303,569 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 138 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit, Broadband Wireless Access (BWA).”


Kementerian tersebut menyatakan demikian terhadap soalan Lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran).


Terdahulu dalam soalannya, Madius meminta Kementerian Komunikasi menyatakan berapa bilangan menara telekomunikasi yang telah diluluskan di seluruh Sabah.


“Berapa jumlah yang telah siap dibina, dan yang gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.


“Apakah isu-isu dalam pembinaan menara ini termasuk pembinaan menara di Tuaran?,” soal beliau.


Kementerian Komunikasi memaklumkan, bagi Parlimen Tuaran liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk telah mencapai 94.23 peratus, manakala bagi status pelaksanaan inisiatif Pelan JENDELA pula sebanyak 19 daripada 31 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi.


Kementerian itu menjelaskan, kesemua 192 stesen pemancar telah dinaik taraf, menyaksikan 21,322 daripada 22,114 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 12 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit BWA.


“Baki inisiatif yang sedang dalam pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2025.


“Beberapa faktor telah dikenal pasti dalam kelewatan pembinaan menara komunikasi di Sabah termasuk di Parlimen Tuaran antaranya proses pemerolehan tapak tanah Kerajaan yang mengambil masa panjang.


“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi libat urus secara berterusan untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang terlibat dan memastikan semua isu atau kekangan dalam proses pemerolehan tanah Kerajaan dapat diselesaikan dengan segera.


“Semua isu pemerolehan tapak tanah ini telah diselesaikan dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri yang terlibat,” ujar kementerian itu lagi.


Selain itu, proses pemasangan kabel gentian optik di kawasan pedalaman memerlukan tempoh masa yang panjang disebabkan faktor jalan yang kerap memerlukan penyelenggaraan menyebabkan kesukaran kenderaan berat membawa tiang konkrit dan gentian optik.


“Pada masa yang sama, faktor cuaca tidak menentu, akses jalan mencabar, kekurangan bekalan bahan binaan serta kekurangan tenaga kerja pembina menara yang bertauliah di Sabah juga menyumbang kepada kelewatan penyiapan menara komunikasi.


“MCMC sentiasa memantau dan memastikan segala inisiatif bagi perkhidmatan komunikasi dan internet di Sabah termasuk di Parlimen Tuaran terus dipergiatkan untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dan perkhidmatan berkualiti dapat dinikmati oleh semua rakyat,” tambah Kementerian Komunikasi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page