top of page

LKIM sedang kaji kesesuaian tapak Projek Kompleks Pendaratan Ikan di Sandakan

nabalunews

Vivian (kiri) dan Arthur (kanan) pada sesi soal jawab itu
Vivian (kiri) dan Arthur (kanan) pada sesi soal jawab itu

4 Mac 2025


SANDAKAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang menjalankan kajian kesesuaian tapak melibatkan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk menilai keberkesanan pelaksanaan Projek Kompleks Pendaratan Ikan di Sandakan.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata, cadangan projek itu akan dirancang berdasarkan hasil kajian yang telah selesai dan akan dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Beliau menyatakan perkara itu semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berhubung status terkini pelaksanaan projek berkenaan semasa sesi soal jawab di Kamar Khas Dewan Rakyat, pada Sidang Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur.


Selain itu, Vivian juga bertanya berkaitan isu kekurangan subsidi minyak diesel untuk aktiviti perikanan dan nelayan di Sandakan kepada kementerian itu.


Berdasarkan maklumat semasa, aktiviti perikanan dan nelayan di Sandakan telah diperuntukkan kira-kira 2.7 juta liter subsidi diesel setiap bulan.


Bagaimanapun, sejak Julai tahun lalu, 400,000 liter daripada jumlah itu dikatakan telah dipotong dan dialihkan kepada dua jeti baharu yang mana sehingga kini jeti itu masih belum beroperasi.


Arthur menjelaskan, sekiranya peruntukan subsidi itu masih tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan, ia akan dikaji semula dalam mesyuarat pengagihan seterusnya untuk mengelakkan gangguan kepada operasi perikanan di kawasan berkenaan.


Pada masa yang sama juga, bagi menangani isu kekurangan bekalan subsidi diesel untuk aktiviti perikanan, pihak kementeriannya telah mengambil langkah sementara dengan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak 800,000 liter, termasuk pengagihan semula dari jeti yang tidak beroperasi.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page