Lockdown bersasar - wajar atau tidak?

26 Ogos 2021
Oleh Marryan Razan, Jacquline Ebit dan Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Lockdown demi lockdown dan prosedur operasi standard (SOP) ketat telah dilaksanakan, namun belum ada petanda jelas pandemik Covid-19 akan reda.
Sebaliknya, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kebelakangan ini terus meningkat atau kekal berada di tahap yang agak membimbangkan.
Justeru itu, ramai rakyat Sabah mencadangkan agar kerajaan negeri melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti PKP 1.0 di seluruh Sabah sekurang-kurangnya dua minggu atau satu bulan untuk mengurangkan pergerakan dan penularan jangkitan Covid.
Kebimbangan melihat peningkatan jumlah kes baharu positif Covid-19 setiap hari membawa usaha pihak berkenaan mengadakan satu petisyen agar kerajaan negeri mengambil langkah lebih berkesan mengawal penularan jangkitan Covid-19.
Kempen mengumpul sokongan dalam talian change.org itu bertujuan mendesak kerajaan negeri melaksanakan kawalan yang lebih ketat, termasuk “Lockdown” jika perlu, sementara fokus dalam meningkatkan jumlah pemberian vaksin dan merawat mereka yang telah dijangkiti.
Walaupun begitu, ada juga yang berpendapat lockdown tidak perlu dilaksanakan memadai kerajaan negeri memperhebatkan program vaksinasi dan ada yang mencadangkan lockdown bersasar dilaksanakan.
Dalam tinjauan wartawan Nabalu News pelbagai pendapat dan cadangan rakyat Sabah yang perlu kerajaan negeri pertimbangkan termasuk mempertingkatkan program vaksinasi, lockdown menyeluruh dan lockdown bersasar bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Kemanusiaan UMS, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berpendapat, lockdown bukan lagi pilihan ketika ini tetapi yang penting meningkatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.
“Kita ambil contoh, Labuan yang telah beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila sudah mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok.
“Saya percaya ramai yang masih ingat tidak lama dahulu kes Covid-19 di Labuan amat membimbangkan tetapi pendekatan dan strategi vaksinasi berjaya membuahkan hasil yang positif,” katanya.

Beliau berkata, banyak aspek yang perlu diambilkira oleh kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
“Kesejahteraan ekonomi rakyat sudah pastinya salah satu aspek utama yang perlu diambilkira. Contohnya ‘dine in’ telah membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang termasuk graduan universiti atau daripada kolar putih, golongan professional bekerja di restoran untuk mencari nafkah untuk diri sendiri dan keluarga.
“Ramai (rakyat) tidak mahu ehsan (simpati) daripada kerajaan kerana mereka hanya perlukan peluang untuk meneruskan kehidupan.
“Kita tidak boleh menilai hanya berdasarkan statistik kes harian tetapi peratusan daripada jumlah kes positif Covid-19 berada dalam kategori 1 dan 2 dan lengkap 2 dos vaksin juga perlu kita lihat,” katanya.
Dr. Lee berkata, berdasarkan laporan sebelum ini lebih 80 peratus kes positif Covid-19 di negara ini adalah kategori 1 dan 2.
“Ini sebenarnya tanda-tanda positif hasil program imunisasi di negara kita kerana kategori 1 ialah mereka yang tidak mengalami sebarang gejala manakala kategori 2 pula hanya mempunyai gejala ringan.
“Kebanyakan kes dalam kategori 1 dan 2 kuarantin di rumah dengan pemantauan pihak hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sering dipersalahkan walhal fokus utama sebenarnya harus kepada rakyat sama ada bersedia memberikan kerjasama untuk melandaikan lekuk Covid-19 kerana virus Covid-19 memerlukan perumah untuk merebak.
“Golongan yang sihat sudah pastinya tiada masalah untuk sembuh daripada jangkitan Covid-19 tetapi ahli keluarga atau mereka yang berusia atau mempunyai penyakit kronik berkemungkinan besar tidak senasib,” katanya.
Sehubungan itu katanya, rakyat perlu menerima kenyataan bahawa Covid-19 tidak akan ‘hilang’ tetapi terus kekal hidup dalam komuniti seperti malaria, polio, hepatitis B dan sebagainya.
“Jadi kita perlu belajar bagaimana hidup bersama-samanya dengan mengamalkan norma baharu setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) Newmond Tibin pula berpendapat jika jumlah kes harian Covid-19 terus meningkat, langkah drastik wajar dipertimbangkan termasuk melaksanakan ‘lockdown’ bersasar.
"Lockdown secara menyeluruh mungkin bukan jalan penyelesaian masalah Covid-19. Namun sementara menunggu kita mencapai imuniti kelompok, lockdown bersasar boleh dipertimbangkan,” katanya.
Newmond berkata,lockdown bersasar itu boleh meminimumkan kesan ke atas kehidupan rakyat dan juga ekonomi.
Beliau turut menyeru kerajaan negeri supaya melakukan yang terbaik termasuk berunding dengan kerajaan persekutuan bagi mempercepatkan penghantaran vaksin ke Sabah, seterusnya menjayakan misi program vaksinasi kebangsaan.
“Saya berpendapat kalau ‘lockdown’ menyeluruh ia akan mencetuskan masalah ekonomi, ramai orang yang akan hidup merana kerana tiada kerja dalam tempoh lockdown menyeluruh,” katanya.
Bagaimanapun bagi Sharon Alycia Anak Bill, seorang mahasiswa, Sabah perlu ‘total lockdown’ berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 di negeri ini setiap hari.

“Kalau bercakap mengenai ekonomi ia terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana kebanyakan kluster baharu juga berpunca daripada tempat kerja.
“Bagi saya nyawa lebih penting terutamanya untuk menjaga golongan warga tua dan yang berisiko tinggi daripada ekonomi. Ekonomi boleh dipulihkan tetapi nyawa manusia tidak boleh diganti,” katanya.
Sehubungan itu Sharon menyokong cadangan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ di Sabah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sekurang-kurangnya dua minggu atau sehingga kes menunjukkan penurunan.
“Sekiranya ramai yang tidak menyokong Sabah melaksanakan ‘total lockdown’, kerajaan negeri perlu memperketatkan SOP sedia ada dan sekatan jalan raya. Contohnya, tidak perlu dine-in dan hanya benarkan ‘take away’. Manakala sekatan perjalanan pula, perlu sentiasa dipantau untuk kebaikkan dan keselamatan Sabah,” katanya.

Bekas Setiausaha Akhbar Murni Roslee pula berpendapat, adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri dapat melaksanakan ‘total lockdown’ sehingga kes menunjukkan penurunan untuk memastikan semua orang duduk di rumah.
“Saya sedih kerana banyak orang yang kita kenal meninggal disebabkan Covid-19. Namun begitu masih ramai yang ke sana ke sini kerana mereka kerja.
“Sekiranya kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ dalam tempoh sekurang-kurangnya satu bulan, saya yakin jangkitan atau penularan akan berkurangan,” katanya.
Aktivis Masyarakat, Dr. Rizoh Bosorong turut menyokong pendapat Murni dan berkata, PKP sangat perlu untuk Sabah pada masa ini untuk memutuskan penularan Covid.
“Pada 24 Ogos, Sabah mencatatkan 3,376 kes iaitu kedua tertinggi di seluruh negara selepas Selangor (4,645 kes). Dalam situasi peratusan vaksinasi yang masih rendah di negeri ini, amat membimbangkan jika kerajaan tidak mengambil tindakan drastik untuk mengawal penularan Covid.

“Sehubungan itu saya menyokong cadangan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ sekurang-kurangnya satu bulan,” katanya.
Sabah masih merekodkan kadar peratusan vaksinasi terendah bagi PICK iaitu 31.4 peratus (peratusan populasi dewasa lengkap dua dos) setakat 24 Ogos berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Manakala Esther Koh, 32, dari Penampang berpendapat bahawa 'lockdown' penuh adalah sangat wajar dan perlu dilaksanakan.

"Jika kita lihat kepada statistik data terkini, jumlah kes semakin melonjak naik dan akan terus meningkat. Walaupun PKPD telah dilaksanakan di sesetengah kawasan, sepertinya langkah tersebut tidak begitu berkesan dalam mengurangkan kes.
"Saya juga secara peribadi tidak bersetuju bahawa 'dine in' kini dibenarkan, kerajaan perlu mengambil langkah drastik sebelum ianya terlambat bagi kita di Sabah," katanya.
Seorang usahawan Shawn Gait turut menyokong cadangan ‘lockdown’ seluruh Sabah agar kawalan pergerakan lebih menyeluruh daripada hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sesuatu kawasan.
“Ini kerana berlaku beberapa kes di mana ada penduduk atau penghuni di sesuatu kawasan PKPD ’degil’ melarikan diri ke kawasan lain dan akan kembali ke kediamannya setelah PKPD tamat.
“Sekiranya orang yang melarikan diri dari PKPD itu positif, ia akan menjangkiti penduduk di kawasan lain,” katanya.
Setakat 25 Ogos, sebanyak 123 lokaliti PKPD aktif di seluruh Sabah, di mana Tawau mencatatkan 34 PKPD aktif, Kota Kinabalu (30 lokaliti), Kota Belud (13 lokaliti) dan Tuaran (10 lokaliti). Daerah-daerah lain mempunyai kurang daripada 10 lokaliti PKPD aktif.
Sandra Ann Jerry, 26, pula berpendapat, ‘lockdown’ perlu dipertimbangkan di Sabah kerana kes harian di Sabah terus meningkat iaitu kelmarin dan hari ini (25 Ogos) masih melebihi 3,000 kes baharu.

“Kalau kerajaan melaksanakan lockdown secara menyeluruh selama dua minggu, saya rasa boleh mengurangkan jangkitan. Sebab sekarang ini semua orang bebas ke sana sini untuk urusan kerja dan urusan lain-lain,” katanya.
Sandara berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menangani peningkatan kes Covid di negeri ini.
“Jika tiada tindakan, saya bimbang kes akan terus meningkat sehingga hujung tahun dan sehingga tahun depan,” katanya.
Celestina David, 26 juga bersetuju dengan pendapat Sandara supaya kerajaan melaksanakan full lockdown di Sabah.

“Kes Covid-19 amat tinggi, tidak pandai turun-turun. Kalau adakan full lockdown, kita dapat melambatkan penularan Covid. Lagipun tahap vaksinasi di Sabah paling rendah di Malaysia.
“Walaupun kerajaan sudah cuba percepatkan program vaksinasi dengan membuka banyak ‘walk in’ namun usaha mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus imuniti kelompok masih jauh.
“Sebab Covid sekarang sudah berada dalam komuniti, dan tambah pula semua sektor ekonomi sudah dibenarkan untuk beroperasi…ini akan melambatkan usaha membendung penularan Covid-19,” katanya.
Chong Vun Hung, 26, dari Kota Kinabalu berkata, ‘lockdown’ adalah pilihan terakhir sekiranya semua langkah yang diambil tidak dapat menurunkan kes baharu positif Covid di Sabah.
“Masalahnya, ada diantara mereka yang dijangkiti Covid daripada kes-kes sporadic…tidak tahu dari mana mereka terjangkit, sebab duduk di rumah pun boleh kena tetapi KKM lambat kesan.
“Sekarang ini semua kes dalam kategori 1 dan 2, KKM arahkan supaya kuarantin kendiri di rumah. Oleh itu langkah terbaik untuk mengawal penularan Covid ialah memperketatkan SOP dan penguatkuasaan sedia ada,” katanya.
Chong berkata, ‘total lockdown’ seperti PKP 1.0 memberikan kesan besar kepada ekonomi negeri Sabah dan juga menjejaskan ekonomi rakyat.
Комментарии