Lori masuk gaung, pemandu tersepit 12 jam sebelum dikeluarkan
26 November 2024
LAHAD DATU: Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih 12 jam akibat tersepit setelah kenderaan membawa muatan baja dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter dekat simpang Lembah Danum, Jalan Tawau-Lahad Datu, pagi tadi.
Mangsa hanya dapat dikeluarkan dengan bantuan jentera berat jam 6.07 petang tadi, kira-kira 12 jam selepas kemalangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.24 pagi tadi.
Katanya sepasukan 9 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Usaha menyelamatkan mangsa turut dibantu 2 anggota dari BBP Kunak dan 4 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Silam.
Agensi lain yang terlibat dalam usaha menyelamat adalah polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kemalangan melibatkan sebuah lori milik syarikat Trans Link Sdn. Bhd yang membawa 2 kontena 41.2 tan muatan Baja Borax dari Tawau ke Lahad Datu yang telah terbabas sendiri masuk gaung sejauh 30 meter di tepi jalan.
"Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pinggang dan kaki. Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas namun gagal.
"Mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar dan dipantau oleh Pegawai Perubatan KKM dari semasa ke semasa.
"Bantuan kren dari Tawau Agensi Trans Link Sdn.Bhd dalam perjalanan ke lokasi kemalangan. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumsoa berkata mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu pada jam 6.07 petang menggunakan peralatan khas dengan bantuan agensi lain.
Katanya mangsa seterusnya diberi rawatan awal dan dibawa naik ke atas jalan raya menggunakan pengusung
dan tali.
Mangsa yang berusia 51 tahun dan cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi bomba ditamatkan jam 6.40 petang.